Thursday 22 December 2011

Jadilah Hamba Yang Ikhlas


Setiap umat Islam wajib meyakini dan menyembah hanya kepada Allah s.w.t. Kita sememangnya tahu akan ibadah yang difardhukan ke atas umat Islam yang telah akil baligh dan cukup syaratnya. Namun begitu, ramai dalam kalangan umat Islam yang kurang menitik beratkan aspek ikhlas dalam ibadah kepada Allah s.w.t. Ikhlas bermaksud setiap kata-kata, perbuatan, dan amalan adalah kerana Allah s.w.t, lillahi taala.
Ikhlas juga beerti setiap apa yang kita lakukan itu tidak mengharapkan apa-apa faedah, gelaran, pujian, kemuliaan dan pangkat dari sesiapa melainkan Allah s.w.t semata-mata. Islam mewajibkan setiap umatNya melakukan setiap amalan dengan ikhlas kerana ia merupakan inti pati dan penentu penerimaan amalan. Firman Allah s.w.t :
"Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mantadbir sekalian alam." (al-An'am:162)

Keikhlasan adalah terbit daripada hati dan disudahi dengan tindakan. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat atau berpura-pura. Sesungguhnya, amalan yang berpura-pura tidaklah dikira ikhlas kerana Allah s.w.t. Niat hati yang ikhlas sudah cukup untuk membuahkan ganjaran pahala disisi Allah s.w.t sekalipun amalan tersebut belum dilakukan. Daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya Allah telah mencatatkan kebaikan dan keburukan serta telah menjelaskannya di dalam Kitab-Nya. Sesiapa yang berniat untuk berbuat kebaikan namun tidak mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan untuknya 10 hingga 700 kebaikan, bahkan mampu lebih banyak lagi. Sesiapa yang telah berniat untuk berbuat keburukan namun tidak mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan satu keburukan untuknya."(riwayat Muslim)




No comments:

Post a Comment